08 December 2010

PROFILE HANTU-HANTU MELAYU



"Hantu! Hantu! mak...hantu mak...hantu...."

Itulah bunyinya jeritan bila orang nampak hantu...tapi biasanya ramai yang tak boleh menjerit bila nampak hantu yang sebenar...kalau boleh menjerit tu maknanya hantu penipu sebab kalau jumpa hantu yang sebenar lidah akan kelu untuk berkata-kata dan tubuh badan menjadi kaku...kecualilah kalau orang yang beriman yang nampak hantu...tapi hantu biasanya takut nak tunjukkan diri kat orang yang penuh iman di dada...mau rentung terbakar dek penangan ayat Kursi & laungan azan.

Sebut sahaja hantu ramai yang dah start meremang bulu roma...ada yang tekencing-kencing sebab takutkan hantu...dalam pada tu ada juga yang suka tengok cerita hantu tapi tutup muka dengan bantal...dah tahu diri tu penakut tapi nak tengok jugak sampai nak pergi ke bilik air pun nak orang temankan (especially bila baru jek menonton atau membaca cerita hantu).

Masyarakat Melayu kita memang terkenal dengan pelbagai jenis-jenis hantu...hantu & orang Melayu dah tak dapat nak dipisahkan lagi...kalau pergi mana-mana hatta kat oversea pun ada jek kes-kes terserempak dengan hantu...sampai ada yang cakap Malaysia Hall di London berhantu sebab ia dihuni oleh orang Melayu kalau omputeh yang duk situ sure takde hantu...maybe dia orang lagi hantu dari hantu-hantu yang ada kat situ.

Sekolah, asrama, kolej-kolej atau universiti tempat orang menuntut ilmu memang port yang hantu paling suka nak kacau...maybe sebab dia tak suka orang menuntut ilmu kot...hantu ni memang takut pada orang yang berilmu sebab hanya orang yang berilmu yang kenal & tahu kelemahan hantu-hantu ni...dasar tak sekolah punya hantu, sebab tu dia tak suka orang yang pergi sekolah.

Yang menambahkan lagi masalah ialah bila budak-budak kecik pun dah ditakutkan dengan hantu oleh para ibu bapa...cubalah ajar anak-anak takut dengan Allah dari mereka kecil supaya dah besar tak buat perangai macam hantu.

"Hantu nak Hantu...takut ada hantu kat dalam tu..." "Lah...Hantu...makan budak ni hantu"

Budak-budak bila dengar hantu pun jadi takut...maka lahirlah generasi yang takut hantu tapi tak takut untuk buat kerja-kerja hantu...bawak motor pun macam hantu pelesit, perangai macam hantu raya, muka macam hantu kopek, baju pulak macam hantu kubur.

Filem berunsur seram atau orang panggil cerita hantu sekarang ni dah macam jadi satu trend...filem yang terbaru ialah "Hantu Mak Limah Balik Rumah" arahan Mamat Khalid...hantu pun dia orang nak komedikan...tak tahulah kenapa orang Melayu ni suka sangat dengan hantu sampai ada yang perangai pun macam hantu...kalau dulu zaman Tok Mat jangan harap kat TV nak tunjuk cerita hantu, semua kena gam...ada bagus juga cara tu taklah ramai yang terpengaruh dengan dakyah hantu-hantu.

Apa-apa pun hantu juga adalam makhluk ciptaan Allah...tak perlulah kita nak amik port sangat tentang kewujudan mereka...kat bawah ni ada disenaraikan jenis-jenis hantu yang paling popular dikalangan masyarakat Melayu...kalau hantu Cina kita tahu & kenal jenis yang suka melompat-lompat & akan berhenti melompat kalau kita tampal kertas kuning kat dahi...tapi yang ini hantu versi Melayu punya...


"PONTIANAK"

Nama gelaran :
Puntianak, kuntilanak

Adik Beradik :
Langsuir

Jantina :
Perempuan

Status :
Single mother (tidak dipelihara)

Asal usul :
Berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya

Alamat tetap :
Alam ghaib

Gaya penampilan :
Sejenis makhluk halus penghisap darah (bertujuan untuk membalasa dendam), berbentuk wanita berpakaian serba putih

Hobi :
Menghisap darah (membunuh mangsanya dengan menghisap darah di bahagian tengkuk mangsa)

Filem yang dibintangi :
Sumpah Pontianak, Anak Pontianak, Pontianak Gua Musang, Tangisan Kuntilanak

Lain-lain :
Pontianak juga merupakan nama ibukota Provinsi Kalimantan Barat di Indonesia iaitu Kota Pontianak (Ibukota Kalimantan Barat) & ia ada kaitannya dengan hantu pontianak.

Kelemahan :
Pontianak ini dikatakan mempunyai lubang dibelakang tengkuknya. Sesiapa yang berjaya hidup ketika berjumpa pontianak dalam jelmaan wanita dan memasukkan paku ke dalam lubang ini dikatakan menjadikan pontianak tersebut kekal menjadi wanita cantik. Sekiranya paku itu dikeluarkan, ia akan kembali sebagai pontianak.
Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar tidak cuba memaku mana-mana wanita yang dijumpai kerana akhirnya anda mungkin akan dituduh membunuh.

Logika
:
Hantu pontianak dikatakan sering menjelma sebagai wanita cantik yang berjalan seorang diri dijalan yang sunyi. Oleh itu, cerita ini kemungkinan bertujuan menghindari golongan wanita daripada diganggu oleh pemuda-pemuda yang takutkan pontianak ketika berjalan seorang diri di jalan yang sunyi. Sesetengah berkata, pontianak takutkan perempuan dan hanya menggangu golongan lelaki sahaja. Awas Laki-laki!


"POLONG"

Status :
Dipelihara, merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh

Asal-usul :
Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak darah orang yang mati dibunuh kedalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol.

Profile :
Hantu polong adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu polong tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu polong akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

Tempat kediaman :
Biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh.

Objektif :
Hantu polong dikatakan akan dipelihara oleh lelaki untuk menyakiti musuh. Selain itu hantu polong juga digunakan bagi mendapatkan wang. Polong akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Makanan kegemaran :
Diberi makan darah dari jari tuannya. Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan. Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.

Kelemahan :
Polong boleh dipaksa bagi memberikan nama tuannya ketika merasuk mangsa. Biasanya biji lada hitam digunakan bagi menggentel bahagian badan mangsa dengan bacaan doa tertentu yang akan menyebabkan polong yang berada dalam badan mangsa kesakitan.


"TOYOL"

Gaya penampilan :
Budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil

Hobi :
Berbogel & mencuri duit

Tempat kediaman :
Dipelihara dalam sebuah botol kecil

Makanan kegemaran :
Pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari/setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.

Asal-usul :
Dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang.

Objektif :
Toyol biasanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran-tetangga.

Kelebihan ;
Mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.

Kelemahan :
Sekiranya tidak dijaga dengan baik, toyol akan membinasakan ahli keluarga terdekat pemilik toyol. Sekiranya toyol tidak lagi diperlukan, pemilik toyol perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar toyol itu balik ketempat ia dibeli, atau ia perlu dibuang, biasanya dihanyutkan dengan ancak kedalam sungai.

Terdapat petua yang menyatakan sekiranya ketam atau ikan puyu diletakkan hampir dengan wang yang disimpan, toyol akan asyik bermain sehinggakan terlupa mengambil wang. Kacang hijau yang diletakkan kedalam kantung juga dikatakan boleh melalaikan toyol.

Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan.
Mungkin Kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa "budak-budak jangan pegang duit banyak banyak".

Logika :
Secara ilmiah, toyol hanyalah satu helah pencuri yang bergerak aktif disesuatu tempat. Sekiranya terdapat toyol sebenar, tuan toyol boleh mendapatkan wang yang lebih banyak hanya dengan membuat pertunjukkan, tanpa perlu mencuri.


"PELESIT"

Status :
Hantu pelesit adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu pelesit tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu pelesit akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.

Gaya penampilan :
Rupa pelesit adalah seperti seorang tua yang amat hodoh berabut putih panjang. Cara ia berjalan mirip seekor penguin. Ia menumpang ke badan belalang hijau sebagai tunggangannya. Cara untuk mengenali rupa belalang pelesit adalah dengan melihat di atas kepalanya terdapat tanda merah. Apabila dicabut kepalanya akan nampak juraian rambut yang halus.

Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka.

Tempat kediaman :
Disimpan dalam botol kecil

Makanan kegemaran :
Diberi makan darah yang dititik daripada hujung jari tuannya setiap kali bulan mengambang.

Objektif :
Hantu Pelesit dikatakan akan dipelihara oleh wanita bagi tujuan membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Selain itu hantu pelesit juga digunakan bagi mendapatkan wang. Hantu pelesit akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Lagu kegemaran :
Pelesit Kota (Search), Pelesit Mata Sebelah (XPDC)

Kelemahan :
Pembela pelesit dikatakan tidak akan mempunyai zuriat kerana ilmunya yang panas akan membunuh janin atau anak kecil yang berdamping dengannya, sekiranya tidak dijaga dengan baik. Ia takut dengan tahi besi iaitu (sejenis besi lebihan dari proses peleburan besi)

Hantu pelesit akan membuat tuannya susah nak mati kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh tuannya sendiri.


"HANTU RAYA"

Nama :
Dinamakan Hantu Raya bersempena saiznya yang besar seperti penggunaan dalam bahasa Melayu seperti Balairaya, lebuhraya dan sebagainya

Status:
Hantu Raya dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja dan juga bagi memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Hantu Raya akan dikawal oleh pemiliknya yang boleh menyuruhnya melakukan apa-apa juga jenis kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh oleh tuannya bagi merasuk seseorang. Hantu raya mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya Hantu Raya akan menjelma sebagai tuannya.

Makanan kegemaran :
Hantu Raya yang dipelihara itu akan perlu diberi makan sebagaimana yang dipersetujui. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Hantu Raya yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.

Objektif :
Biasanya dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja-kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya.

Kelebihan :
Hantu Raya biasanya mampu melakukan kerja-kerja berat seperti empat atau lima orang dengan mudah. Ia boleh menjelma sebagai manusia. Ia boleh membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya.

Kelemahan :
Hantu Raya biasanya perlu diwarisi, dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan. Hantu raya suka menyamar sebagai pemiliknya dan akan tidur bersama isteri tuannya jika tidak dikawal.

Kelemahan Hantu Raya :
Dari segi agama Islam, gunakan lada kering, garam dan arang sahaja. Setiap batang lada patahkan tiga bahagian dengan bacaan Al-Fatihah setiap satu dan sebanyak 40 batang lada kering diperlukan (jadi 120 batang kecil). Bacakan ayat Kursi sebanyak 33 kali dan hembuskan keatas air. Renjis air ini ke atas garam dan arang tadi.

Kemudian gunakan arang ini untuk menghidupkan api di atas dapur. Letakkan sedikit lada dan garam sedikit demi sedikit sehingga habis. Masa yang sesuai dari pukul 6.00 petang sehingga habis lada di bakar. Hantu raya akan lari atau mengakibatkan dia cedera disebabkan oleh gas lada ini. Biasanya ia akan membunuh tuannya kerana tuannya tidak dapat mengubatinya.
Ayat Kursi adalah pantang jin dan lada serta garam adalah musuhnya.

Gunakan sebaiknya kaedah ini sekiranya anda memasuki rumah yang lama tidak diduduki atau diganggu hantu raya atau anda mengalami sakit yang tiada puncanya. Asapkan badan atau bahagian yang sakit dengan asap lada ini. Insya ALLAH, doa anda dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T

Logika :
Ramai orang tua yang mengamalkan ilmu ini kerana berpendapat bahawa dengan mempunyai pendamping mereka merasa selamat dari ancaman musuh.


"HANTU BUNGKUS"

Gaya penampilan :
Makhluk ghaib yang dilihat berbungkus dalam kain kafan

Adik-beradik :
Hantu punjut atau hantu pocong

Gaya penampilan
Meloncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka.

Status :
Tidak dipelihara dan terdapat secara bebas

Kelebihan :
Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak. Ini kerana dikatakan, dalam bungkusan tersebut terdapat wang yang banyak.
Bukan setakat bergerak pantas malah boleh loncat dari atap ke atap jauhnya, merupakan kelebihan hantu ini

Kelemahan :
Anda boleh berlari zig-zag jika dikejar oleh hantu bungkus. Ini kerana hantu bungkus hanya bergerak secara lurus.


"HANTU JEPUN"

Gaya Penampilan :
Sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, semasa Jepun menawan Malaysia.

Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang, tanpa berkepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya. Kadang kala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan kasut but tentera.

Tempat kediaman :
Bangunan sekolah berasrama, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia II. Oleh itu, boleh dikatakan, hantu Jepun ini agak moden.

Tagline ;
"Banzaiiiii"


"HANTU KUM KUM"

Asal-usul :
Bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari / sesetengah cerita menyatakan sebulan.

Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah XXX perawan. Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan "Kum-Kum" sambil mengenakan jibab

Objektif :
Matlamat hantu kum-kum dikatakan memulihkan wajah penuntutnya yang terlanggar pantang.

Logika :
Hantu kum-kum merupakan cerita hantu moden yang mula berkeliaran sekitar 1970-an ketika kebangkitan kesedaran semula Islam dikalangan orang-orang Melayu. Ketika itu, para pemudi mula mengenakan hijab dan perkara ini tidak disenangi oleh kumpulan yang mengenakan skirt mini. Dengan itu hantu kum-kum dicipta sebagai sindiran kepada kumpulan yang memegang kepada ajaran Islam ketika itu. Hantu kum-kum juga kembali popular ketika kumpulan al-Arqam (sudah diharamkan tetapi masih aktif sebagai kumpulan Rufaqa') mula aktif di Malaysia yang menyaksikan pemakaian purdah yang di kalangan wanita pengikut kumpulan itu.

Tagline :
"Assalamulaikum kum kum kum....."


"ORANG MINYAK"

Asal-usul :
Orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan mencuri/membuat onar@merogol.
Salah satu cerita mengatakan orang minyak ini telah tersalah menuntut, menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 orang gadis. Mangsa akan menjadi terpukau dan ditanda dengan dipangkah pada mukanya selepas dinodai.

Kelebihan :
Orang minyak mampu memasuki rumah yang berkunci dengan mudah. Selain itu ia dikatakan dapat menghilangkan diri dengan mudah sekiranya dikejar. Mampu melekat pada siling seperti cicak (macam cicakman). Mampu juga naik ke atas dengan sehelai benang dan mampu menggunakan pelesit.

Kelemahan :
Sekiranya seseorang itu tidak mahu diganggu oleh Orang Minyak pada waktu malam terutamanya gadis, sekeliling tempat tidurnya harus ditaburi dengan kelopak jantung pisang dan daun keladi bira. Untuk menangkap Orang Minyak, apabila Orang Minyak itu telah dikepong, ia harus diselubungkan dengan kain batik lepas untuk melemahkannya. Hanya setelah diselubungkan dengan kain batik lepas baru boleh digigit ibu jari Orang Minyak itu untuk menghapuskannya.

Logika :
Kemungkinannya ia bermula dengan pencuri yang melomorkan dirinya dengan minyak agar sukar ditangkap kerana licin. Minyak yang gelap juga akan menjadikan dirinya sukar dilihat pada waktu malam, sunggupun ia membahayakan dirinya ketika memanjat. Pada 24 November 2006, seorang pencuri yang melomorkan dirinya dengan minyak telah di tahan di kampung Tawas, Malaysia.

Filem Lakonan :
Sumpah Orang Minyak


"HANTU PENANGGALAN"

Adik-beradik :
Hantu tengelong di negeri Kedah atau Balan-balan di Sabah

Status :
Hantu penanggalan adalah seseorang yang menuntut ilmu hitam. Ia juga gemar menghisap darah manusia yang akan atau mahu bersalin. Penanggalan juga biasanya diwarisi dari ibu kepada anak secara turun-temurun.

Mereka yang menuntut ilmu penangalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka agar kecut sebelum bercantum masuk kembali kedalam badan asal mereka. Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka akan terbongkar.

Gaya penampilan :
Merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena. Ketika penanggalan terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.

Objektif :
Hantu Penanggalan dikatakan dituntut oleh seseorang wanita bagi membantunya mengekalkan kecantikannya, membunuh musuhnya, menjaga tanaman / peliharaan daripada pencuri dan lain-lain.

Makanan kegemaran :
Penangalan dipercayai suka darah perempuan yang bersalin, dan sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah.

Kelemahan :
Biasanya disekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri. Dipercayai penanggalan takut hendak mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut.


"HANTU KOPEK"

Adik-beradik :
Hantu Tetek (adik beradik lain bapak lain mak)

Gaya penampilan :
Kononnya hantu kopek berbentuk seorang wanita yang tua yang suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib, dengan cara menyembunyikan mereka di celah kopek (buah dada) mereka.

Matlamat :
Hantu kopek dikatakan berkeliaran dikawasan perkampungan dan akan menyorok kanak-kanak yang merayau-rayau pada waktu senja. Mereka yang disorok oleh hantu kopek, biasanya mampu melihat mereka yang mencari tetapi tidak mampu berkomunikasi dengan pencari.

Logika :
Hantu kopek ini dipercayai digunakan bagi menakut-nakutkan kanak-kanak agar tidak berkeliaran di waktu senja. Ini disebabkan pada masa dahulu, keadaan gelap senja amat merbahaya kerana haiwan buas mungkin memasuki kawasan perkampungan atau kanak-kanak yang berkaki ayam mungkin akan terpijak onak, duri, paku atau kaca dalam kegelapan malam. Selain itu terdapat juga ancaman binatang buas seperti harimau yang mungkin memasuki kampung dipinggir hutan. Dengan itu hantu kopek dicipta bagi menyelamatkan mereka daripada ancaman tersebut.


"HANTU KUBUR"

Status :
Hantu kubur, boleh di ketogorikan sebagai penjaga kubur

Tempat kediaman :
Di kawasan perkuburan

Hobi :
Mengusik orang yang lemah semangat.

Kelemahan :
Garam dan bawang putih


"HANTU GALAH"

Gaya penampilan :
Ia dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan.

Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya.

Objektif :
Hantu galah dipercayai hanya mengusik tetapi tidak membahayakan orang.

Kelebihan :
Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.
Seseorang juga dinasihatkan tidak berjalan di celah kakinya atau hantu ini akan mengepit orang itu dengan kakinya yang panjang.

Hantu galah dikatakan nampak dalam keadaan normal apabila kita pertama kali melihatnya tetapi menjadi tinggi dan tinggi sampai ke satu masa kita hanya melihat kakinya. Seseorang dinasihatkan supaya tidak mendongak ke atas atau kepala kita akan selama-lamanya mendongak ke atas.

Kelemahan ;
Kalau ditakdirkan terjumpa hantu galah, dinasihatkan supaya menirap. Kerana tubuh makhluk ini yang tinggi lampai, ia tak akan perasan manusia yang menirap.

Logika :
Hantu galah antara hantu-hantu yang dikatakan direka ceritanya untuk menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak memanjat pokok pada waktu malam. Sesetengah orang Melayu percaya hantu galah dapat dilihat jika seseorang itu mempercayai kewujudannya.


Rujukan : http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_dalam_masyarakat_Melayu
*nota kaki berbau :
Anak menantu yang berperangai buruk & tak tahu malu juga dikenali sebagai 'Anak Hantu'

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...